TAKZIAH KEPADA KELUARGA TUN GHAZALI SHAFIE

'King Ghaz' disemadikan di Makam Pahlawan
Jan 25, 10 5:40pm

Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie yang meninggal dunia semalam disemadikan di Makam Pahlawan di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini kira-kira jam 2.30 petang tadi.


Lebih 200 sanak saudara, kenalan dan dif-dif kehormat hadir memberi
penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.

Antara dif kehormat ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet lain.

Dilahirkan di Kuala Lipis, Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam, semalam.

Sebelum itu, jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Masjid al-Mujahiddin, Damansara Utama berhampiran rumah adik perempuan Allahyarham, Datin Yuhanie Shafie, 78, pada kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah Allahyarham turut disembahyangkan selepas solat zohor pada kira-kira jam 1.30 petang di Masjid Negara dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Suasana pilu menyelebungi Makam Pahlawan

Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan bila talqin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

Anak saudaranya Datuk Amin Raiffe Othman, yang mewakili anggota keluarga Ghazali, berkata beliau sekeluarga merakamkan penghargaan kerana diberi penghormatan pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan.

"Saya mewakili anggota keluarga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi kami sekeluarga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana memberi penghormatan negara dengan pengkebumian di Makam Pahlawan," katanya kepada pemberita selepas upacara pengkebumian.


Mengenai cadangan Najib agar kerajaan melantik seseorang untuk menulis memoir Ghazali, beliau berkata keluarganya akan membantu mengumpul bahan untuk penghasilan memoir itu termasuk mendapatkan beberapa catatan yang pernah ditulis oleh Allahyarham.

"Kami akan bantu kerana dia (Tun Ghazali) ada tulis, catat dalam buku dia walau tidak complete (lengkap), kami akan bantu usaha membukukan supaya rakyat tahu keadaan dan contribution (sumbangan) yang orang lain tak tahu," katanya.

- Bernama

Alfatihah buat Arwah "King Ghaz" Bismillahhirahmanirahim...alhamdulillah hirabilalamin.....end. Kami AJK KELAB ANAK2 MUKUM BUDU merasa amat terharu dan sedih diatas pemergian Allahyarham yang banyak menabur jasa kpd K.Lipis, Negeri Pahang dan Negara Malaysia. Kami merakamkan Takziah teramat sangat kepada semua keluarga sedara mara Allahyarham. Kami doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan para ambia'. TK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan