Tuanku Sultan Pahang Gembira

Sultan Pahang ucap tahniah atas pelantikan Najib

KUANTAN 20 April - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Baginda turut melahirkan rasa syukur dan sangat gembira di atas pelantikan Najib itu.

Malah, titah Sultan Ahmad Shah lagi, baginda percaya dengan kebijaksanaan, keterbukaan, pengalaman luas, kewibawaan dan kesabaran yang dimilikinya, Najib mampu memikul tanggungjawab berat sebagai Perdana Menteri.

Baginda juga percaya, Najib berupaya memandu Malaysia menghadapi cabaran masa kini khususnya dalam menangani kemelut politik dan kesan kemelesetan krisis ekonomi global.

"Beta yakin dan percaya dengan pendekatan orang tua beta (Najib) yang memberikan perhatian kepada suara dan kehendak rakyat, insya-Allah hasrat orang tua beta dalam tagline atau cogan kata 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', akan tercapai," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Cik Puan Muda Pahang, Cik Julita Aishah Abdul Latif.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin.

Dalam titah ucapan tersebut, Sultan Ahmad Shah turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan masing-masing berjumlah RM256.3 juta dan RM808.4 juta kepada kerajaan negeri melalui dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

Menurut Sultan Ahmad Shah, peruntukan tersebut adalah untuk membiayai sebanyak 1,389 projek dan ia tidak termasuk peruntukan yang disalurkan melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Melalui RMK-9, untuk 2009, kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM1.4 bilion untuk membiayai 1,612 projek pembangunan," titah baginda.

Selain itu, baginda turut berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan peruntukan RM150 juta untuk pembangunan infrastruktur projek Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas di Pekan.

Sultan Ahmad Shah turut menyifatkan langkah kerajaan Persekutuan meneruskan rancangan pembangunan lima tahun seperti RMK-9, satu langkah yang tepat untuk meredakan kesan buruk kemelesetan ekonomi global.

Baginda yakin, dengan adanya peruntukan untuk melaksanakan kelangsungan projek pembangunan, ia akan mewujudkan aktiviti ekonomi yang berterusan dan mendatangkan kesan putaran, limpahan dan pergandaan.

"Ini sesuatu yang baik untuk negara, negeri dan rakyat bagi memastikan kegiatan ekonomi negara dan negeri terus berjalan," titah baginda.

Sumber : Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan